Bantahan projek Empangan Murum perlu diteruskan

K Pragalath | November 6, 2012

Antara sebab yang diketengahkan untuk membantah pembinaan Empangan Murum ialah ia melanggar Perisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Hak Orang Asal.


PETALING JAYA: Penasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Dr Kua Kia Soong hari ini menyenaraikan sebab-sebab mengapa bantahan terhadap pembinaan Empangan Murum yang telah siap 80% perlu diteruskan.

Suaram merupakan antara 50 NGO yang menyokong perjuangan 1,600 anggota masyarakat Penan dari lapan buah kampung dan sekumpulan masyarakat Kenyah terhadap Empangan tersebut.

Menurut Kua, pembinaan empangan tersebut melanggar Perisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Hak Orang Asal.

“Menurut perisytiharan tersebut, persetujuan untuk membina empangan dan memindahkan masyarakat asal perlu diperoleh oleh kerajaan sebelum projek dimulakan. Persetujuan masyarakat perlu diberikan dengan rela hati berdasarkan maklumat yang diberikan.

“Di dalam kes Bakun pun, laporan penempatan masih tidak diperoleh. Misi pencarian fakta oleh NGO di Kampung Asap mendapati proses penempatan semula dalam kes empangan Bakun telah dijalankan dalam keadaan yang teruk sekali.

Justeru itu, “kami menggelarnya ‘Janji kosong, Pembohongan Empangan.’ Ia melibatkan masyarakat yang unik seperti Ukit di Sarawak yang kehilangan budaya. Selain itu penilaian kesan sosial dan alam sekitar tidak diberikan.

“Laporan tersebut sepatutnya disiapkan sebelum empangan siap dibina. Pakej ganti rugi juga dikatakan tidak mencukupi. Pihak kerajaan menyediakan elaun bulanan di bawah tahap kemiskinan selama empat tahun.

“Masyarakat Penan menuntut pampasan sebanyak RM500,000 untuk setiap keluarga dan 30 hektar tanah untuk sebuah kampung dan 25 hektar tanah untuk setiap keluarga sebagai ganti rugi.

Kua menambah bahawa beliau melihat kegagalan dalam pembinaan empangan di Sarawak bermula dengan Empangan Batang Ai dan Empangan Bakun pada sekitar tahun 1990an yang melibatkan 10,000 penduduk.

“Kerajaan Sarawak masih tidak belajar dari kesilapan lepas dan masih memindahkan orang Asal,” kata beliau.

Perubahan iklim

Beliau turut mengkritik pembinaan Empangan Murum dan 11 empangan lain di bawah projek Koridor Tenaga Yang Diperbaharui Sarawak (Score).

“Ia bukan tenaga yang boleh diperbaharui kerana pengeluaran gas dari empangan tersebut akan menyumbang kepada perubahan iklim,” katanya.

Selain itu beliau berhujah bahawa kerajaan tidak menjalankan kajian strategik untuk mengetahui jumlah tenaga yang diperlukan dari empangan-empangan di Sarawak.

“Contohnya di Empangan Bakun, kabel tidak dipasang dengan betul untuk mengalirkan bekalan elektrik ke Semenanjung Malaysia. Ia ditutup kerana kerajaan mahu menjemput industri toksik untuk beroperasi di kawasan Score.

“Di Barat empangan hidroelektrik tidak lagi menjadi pilihan untuk menjana tenaga.

“Projek mega seperti pembinaan empangan membuka ruang kepada rasuah dan kemusnahan hutan. Empangan Bakun melibatkan pemusnahan kawasan seluas Singapura iaitu 70,000 hektar manakala Empangan Murum pula melibatkan 24,000 hektar,” katanya.

Kua menyatakan Sarawak sepatutnya menggunakan pilihan lain seperti projek hidro elektrik mini, sel volteks dan projek solar yang tidak melibatkan pemindahan Orang Asal. Pengeluaran tenaga elektrik di Sarawak melebihi permintaan.

“Sarawak memerlukan 1100 Mw dan Empangan Bakun sahaja sudah mengeluarkan 2000 Mw. Bank Dunia menyatakan kita memerlukan tenaga simpanan sebanyak 25% tetapi simpanan kita sebanyak 45%,” kata Kua.

Sementara itu, Ng Yap Hwa dari Kumpulan Budaya LLG berkata pihaknya mensasarkan untuk mendapatkan 10,000 tandatangan di dalam laman web Sarawak Report dan RM5,000 sebagai bantuan kewangan masyarakat Penan tersebut.

Pihak yang mahu menawarkan bantuan kewangan menghantar wang kepada akaun Borneo Resource Institute Sarawak (Brimas) bernombor 110270010017894 di Alliance Bank, Miri.

Ng menambah bahawa beliau juga bercadang memberi latihan kepada masyarakat umum untuk meningkatkan kesedaran mereka terhadap isu yang dihadapi masyarakat Penan.

Justeru itu katanya, satu sesi latihan akan dijalankan pada hari Jumaat ini jam 8 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Comments

Popular posts from this blog

SAVE Rivers join Green March